Wednesday, November 5, 2008

Tentang Keutamaan


Gambar ini memberikan simbolik mudah tentang keutamaan dalam hidup. Walaupun besar dan berkuasa kita sebenarnya masih tertakluk kepada hukum-hukum kemanusiaan. Sekadar memetik kata-kata T.S. Elliot dalam puisinya yang bertajuk East Coker

“The only wisdom we can hope to acquire Is the wisdom of humility: humility is endless.”


Wednesday, October 8, 2008

Saya Juga Menyokong




Kita sudah sampai ke tahap di mana kuasa politik menjadi tuan kepada bangsa. Kita dianuti dengan doktrin bahawa sesiapa sahaja yang berbeza pendapat dan pandangan dengan kita adalah mereka yang salah dan menyimpang. Kita diasuh supaya berkata 'ya' pada sesuatu yang berlawanan dengan naluri semulajadi kita.

Kita juga secara perlahan-lahan mula melupakan risiko dan berada dalam keadaan selesa demi kepentingan orang-orang tertentu. Kita takut untuk berkata 'tidak' kerana kita tahu nanti hak kita akan dinafi. Kita gersang idea untuk berhujah bila ianya melibatkan nasi makan dan air minum kita. Kita hanya melihat sahaja apa yang berlaku di depan mata itu berlalu dengan pandangan kosong.

Kita sebenarnya merosakkan budaya, memiskinkan nilai sosial, dan meruntuhkan tamadun dengan perbuatan kita sendiri. Kita sentiasa terlupa bahawa politik itu adalah agama. Agama mengajar benda-benda yang mulia dalam hidup. Agama mengajar kita bagaimana untuk menyatukan hati-hati manusia. Agama memberi petunjuk bagaimana piagam kemanan itu boleh didirikan, dan agama juga memberikan cahaya apa ertinya berjalan di jalan yang lurus.

Agama tidak mengajar benda-benda yang remeh. Agama tidak mendidik supaya bila lelaki bertemu wanita, kedua-duanya perlu tunduk untuk mengelak dari bertemu mata. Agama tidak menganjurkan kita secara kolektif mengumpul pahala secara individu tetapi pada masa yang sama pegangan, dan tamadun kita tertiarap tanpa bangkit lagi. agama tidak mengajar benda-benda yang boleh dicapai dengan akal manusia. Agama membawa seribu kebijaksanaan dalam mentadbir kehidupan, tetapi itulah yang sering kita tolak ke tepi.

Siapakah kita untuk menahan tanpa bicara sesiapa pun walaupun untuk tempoh berapa lama. siapakah kita untuk mengekang suara-suara yang mengatakan bahawa kita adalah salah dan tidak kena sebenarnya. Siapakah kita untuk membuat apa sahaja demi kepentingan diri kita sendiri dengan membebankan orang lain.

Kita meminjam alam dan seluruh isinya ini dari generasi yang akan datang. Kita wajib memulangkannya kepada mereka dalam keadaan yang jauh lebih baik dari apa yang kita ambil. Jika tidak, kita sebenarnya gagal. Kita tidak berjaya membentuk manusia-manusia yang insan. Kita tersungkur lemah kerana tidak mampu melahirkan satu gagsan tamadun yang unggul untuk bangsa kita sendiri. Kita berdosa kepada anak cucu kita sebenarnya. Kita menerapkan nilai-nilai yang tidak betul ke dalam unsur-unsur kehidupan mereka yang akan datang.

Hari ini kita menangis melihat satu lagi kegagalan manusia.

hari ini kita sedih meilhat satu lagi kecelakaan dunia.

Kalaupun kita tidak mampu dan tidak berkeinginan untuk mebangunkan, cukuplah sekadar kita tidak merobohkan. kalaupun kita tidak ingin menghulurkan tangan untuk menolong, jangan pula kita menyusahkan. Kalaupun kita tidak ingin melahirkan, jangalah kita membunuh. kalaupun kita tidak sudi membesarkan, janganlah pula kita menindas.

Minda kita telah tertutup oleh benda-benda kecil yang mengaburi anak mata kita yang sedia kecil. Kita berjaya secara sendirian tidak akan memberikan makna yang signifikan sehinggalah kita meningkatkan martabat nusa dan bangsa kita bersama.

tetapi itu perjalanan yang panjang. Sampai kita menutup mata pun, ini akan terus menajdi mimpi yang paling indah untuk sebuah bangsa Malaysia.

Kita menagis lagi kerana kegagalan jiwa manusia.

Wednesday, October 1, 2008

Aidilfitri Dari Hemisfera Selatan

Waktu ini jam 0339, 1 Syawal 1429. Keengganan mata untuk terlelap membawa kepada catatan ini. Di kesempatan ini, Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin diucapkan kepada sesiapa juga yang bergembira menyambut kedatangan Aidilfitri yang indah ini. Semoga semangat Syawal yang segar ini akan membawa sejuta keamanan dan keteguhan kepada persaudaraan manusia.

Ramadhan yang telah kita lewati juga seharusnya mengajar kita sesuatu yang baru. Untuk kita semua yang sedang mencari, agar kita akhirnya bertemu dengan sesuatu bersama malakiah yang telah mengatasi bahimiah bersama hikmah yang dibawa oleh Ramadhan.

Tidak banyak yang berlaku di Monash Street menjelang Aidilfitri ini. menjadi elemen yang kecil di sini tidak mungkin melahirkan sesuatu yang besar-besar. Pastilah suasanaya berbeza dengan apa yang biasa kita lihat di Malaysia sebelum ini kerana dua tempat yang sangat jauh ini berbudayakan sesuatu yang tidak sama. Berbeza itu pula tidak semestinya akan memberikan impak yang negatif sahaja. Ianya juga memberikan kita banyak benda baru dalam hidup kita yang sentiasa mencari ini. Semuanya adalah relatif. Kita selalu mendengar orang berkata beraya di Malaysia adalah lebih meriah, tetapi pernahkah kita bertanya lebih meriah berbanding di mana?

Mungkin gambar-gambar ini akan melantunkan gambaran yang lebih jelas tentang apa sebenarnya yang berlaku di Monash Street pada Pra-Syawal ini.


Ketua Unit Perkebunan Monash Street


Mesin Rumput yang Hidup Segan Mati Tak Mahu


Proses Penyediaan Awal Bahan


Proses Penyediaan Bahan Mentah


Ketua Tukang Masak dan Pembantunya


Bahan-Bahan Membuat Rendang


Ketupat Palas Jadian


Nasi Himpit Jadian


Rendang Warna Kuah Kari


Yang paling menarik mungkin adalah bungkusan pada belacan ini. Pertama kali membacanya seolah-olah ejaan itu membentuk perktaan "Beckham". Kemudian apabila diteliti tulisan dibawahnya bagi menyakinkan pembeli bahawa belacan ini adalah yang terbaik, ianya mengundang seribu pertanyaan kembali."BELACHAN ITU YANG BAIK DI-PERBUAT DARIPADA UDANG HIDUP DENGAN PESAWAT, HANYA RAMUAN YANG TERPILIH DI-GUNAKAN TENTANG KESEDAPAN RASANYA DI-JAMIN CUKUP MEMUASKAN".

Adakah sesiapa yang tahu maksud pesawat di sini? Adakah maknanya pesawat itu adalah udang yang hidup bnersama pesawat di udara?


"Belachan" Pelik

Sekali lagi, Salam Aidilfitri dari hemisfera selatan, khususnya dari Monash Street. Semoga Syawal ini memberi lebih sinar kepada keutuhan persaudaraan manusia dan kemegahan tamadun bangsa.

Monday, September 29, 2008

Holiday Inn dan Mengiringi Kepulangan MRB

Jam 0605 masa tempatan di Adelaide, MRO menyentuh bumi Adelaide ketika panas matahari mula meninggi. Satu perjalanan biasa bagi satu MRO yang telah melalui berbagai rintangan yang lebih hebat sebelum ini. Tersenyum pada supir hebat yang mejadikan MRO sekali lagi sebagai penghubung tali-tali ikatan kemanusiaan antara dua benua yang jauh.

Oh ya, semalam berbuka puasa di No.2 Monash Street. Mangsanya adalah kebab dari Falafel Kebab House. Banyak kisah dikongsikan bersama FO MRO malam tadi. Satu yang menarik mungkin tentang seseorang yang berada jauh di Bonn. Pastinya tidak terlepas dari kisah-kisah lucu yang melingkari hidup. Ketawa itu adalah seperti panadol sebagai penenang kepada demam ataupun sakit kepala. Bila kesannya hilang, segala sakit itu akan datang semula, malah mungkin dengan lebih teruk lagi. Bila ketawa juga hilang, keperitan yang kita hadapi pastinya muncul kembali. Selalulah ketawa agar hari kita sentiasa ceria.

Pagi in, berkejaran dari Holiday Inn Adelaide untuk mengiringi kepulangan MRB memang mencuakkan. Menunggu tram yang sangat membuang masa di hari Ahad yang sejuk-sejuk ayam. Dalam kekalutan mengejar masa, tertinggal pula seluar di hotel. Nasib baiklah ianya diselamatkan oleh FO MRB pada hari yang akan membawanya kembali nanti ke Adelaide. Selamat bejalan-jalan wahai seluarku.

Dalam tempoh setengah jam sempat berkejaran dari King William Street pulang ke rumah dan seterusnya ke Adelaide Airport untuk bertemu supir MRB. Satu pencapaian yang agak baik dalam mengayuh basikal di kala puasa yang semakin hampir ke penamat ini di mana tenaga semakin menyusut.

MRB juga mempunyai tugasan sama seperti MRO. Menyambung sisa-sisa tali kemanusiaan yang semakin menipis dah hampir putus. Meninggalkan Adelaide sepuluh minit lebih awal, membawa semangat Aidilfitri pastinya untuk sesetengah jiwa yang berada di dalamnya. Semoga berjumpa lagi wahai puteri MRB, semoga hari ini menjadi hari yang indah untukmu.

khabarnya FO MRB kehilangan kamera hari ini. Hilang maknanya tidak mungkin dijumpai lagi. Tidak mungkin dijumpai bermakna ianya mengecewakan. Di manakah kita belajar sebenarnya untuk membolehkan kita mengambil hak orang lain tanpa kita rasa bersalah dan membuat orang lain berasa hidup ini tidak tenteram? Satu kesilapan besar dalam sistem pendidikan di mana kita gagal melahirkan manusia-manusia yang berjiwa insan

Hari Raya tinggal lagi dua hari. Suasana di Adelaide masih seperti biasa. Apabila kita menjadi kecil dan minor, tiada siapa yang akan mendengar suara kita. Begitu juga bilamana kita menjadi major dan besar, kita tidak akan mendengar pula suara-suara kecil yang meluahkan isi jiwa mereka. Adilakah kita ini sebenarnya?

Kita anak semua bangsa.

Friday, September 26, 2008

Menanti Kemunculan MRO

Ketika ini pastinya MRO sedang gagah membelah kepulan awan mencari kedudukan yang selesa untuk dirinya sendiri dan juga untuk nafas-nafas manusia yang ikut bersama. Sebuah kembara rutin yang tidak terhitung jumlahnya, MRO akan muncul dengan bergaya ketika hari baru bermula di Adelaide.

Ketika ini juga pastinya MRO sedang bergelut untuk mengatasi "kepala angin"degil yang cuba menghalang perjalananya. Juga pastinya sesekali MRO akan bersenang lenang mengikut sahaja "ekor angin" yang menghanyutkannya secara terkawal menuju ke titik penamat.

MRO bukan sahaja membawa benda fizikal yang boleh kita pegang dan rasa, malah MRO juga membawa bersama nilai budaya untuk badan yang mencari, elemen kasih sayang untuk jasad yang sekian lama terpisah dan simbol kebebasan serta kemajuan untuk mereka yang menghargai.

Di tengah-tengah langit malam, berpuluh ribu kaki dari aras laut, ke depan yang entah berapa jauh lagi, ke belakang yang telah lama kita tinggalkan, ke kiri dan ke kanan yang tidak bertepi, lalu siapakah kita ini sebenarnya?

Semoga ketemu MRO nanti, Puteri yang sentiasa dirindui bersama supir yang sentiasa tabah dan yakin dengan apa yang dilakukannya

Thursday, September 25, 2008

Impian Seorang Anak





P/s: Unless you spread your wings, you'll never know how high you can fly

Thursday, January 3, 2008

Round Trip Yang Malang

Ini cerita lama yang agak menarik mungkin. Ia tidak akan berulang dua kali dalam komposisi yang tepat. Cerita ini berlaku semasa saya masih lagi berada di Malaysia

Lupakan sekejap Bahagian II proses dan prosedur Pembinaan Semula ACL, kali ini saya ingin bercerita tentang satu trip malang semasa pulang untuk sambutan AidilAdha baru-baru ini. kadang-kadang kita perlu berterima kasih kepada urutan peristiwa begini kerana ianya jarang berlaku untuk kali kedua. Tetapi yang nyatanya, semua orang yang mengalami perkara sebegini akan hilang kesabaran buat sementara waktu.


Ceritanya bermula apabila tiket bas ekspres yang selalu saya gunakan untuk balik habis dibeli. Ini sememangnya satu kebiasaan menjelang apa sahaja musim perayaan di Malaysia. Entah bagaimana, tiket pengangkutan awam ke Kota Bharu sentiasa berada di bawah aras permintaan yang melampau.


Sebagai alternatif, saya memilih untuk menggunakan pengangkutan udara. Maslahnya, tiada penerbangan terus yang menghubungkan Kuantan (KUA) dan Kota Bharu (KBR). Saya perlu ke kuala Lumpur (KUL) terlebih dahulu dan kemudiannya menyambung penerbangan ke KBR. Penerbangan sambungan domestik pastinya membuang masa yang jumlahnya hampir sama ataupun lebih daripada perjalanan terus menggunakan bas.


Ceritanya bermula dalam penerbangan sektor pertama ini. Saya mendaftar masuk dan meminta tempat duduk 20F (Boeing 737 siri 400. Pada hari itu, mereka menghantar 9M-MMJ ke KUA). Inilah tempat duduk yang baik (begitu juga tempat duduk 20A) untuk penggemar fotografi penerbangan seperti saya. Di sini, kalau kita memerhatikan dengan teliti, biasanya pada keadaan udara yang tertentu (biasanya awal pagi), kita akan nampak vorteks yang cantik terhasil dari hujung sayap pesawat akibat pertemuan aliran udara di atas dan di bawah sayap pesawat. Begitu juga, tempat duduk ini menjadi tempat yang sesuai jika kita ingin melihat bagaimana 'control surfaces' pesawat berfungsi terutamanya semasa berlepas dan mendarat. Bagaimana sayap bergegar semas berlepas, mendarat dan juga semasa keadaan udara yang tertentu. Inilah fenomena kejuruteraan yang cantik saya rasa.


Tetapi apabila saya masuk ke pesawat dan menuju ke belakang mencari nombor 20F, di situ terdapat seorang lelaki sedang duduk dengan senangnya di tempat duduk saya. Saya segera menyimpan 'hand luggage' saya di kompartmen atas dan bertanya dengan suara yang sopan (saya kira) bagaimana saya boleh duduk di tempat duduk saya itu sambil menunjukkan pas masuk saya yang tertera tempat duduk bertulis 20F. dengan selambanya dia berkata "Sama sahaja duduk di mana-mana pun dalam kapal terbang ini". Saya bertanya lagi berapakah tempat duduk beliau yang sebenarnya, dengan pantas dia mengeluarkan pas masuknya dan menunjukkan tempat duduknya adalah 20D. Lalu saya katakan kepadanya, sekiranya tempat duduk di mana-manapun adalah sama, apalah ertinya 20D dan 20F itu. Dia tersenyum sambil berkata "saya ingin melihat permandangan di luar semasa pesawat ini terbang nanti". Saya tersenyum mengalah, lalu duduklah saya di lorong itu memerhatikan lenggok pramugari yang berjalan ke sana sini. Sambil sesekali memerhatikan ke arah lelaki itu, dia tidak lepas-lepas memerhatikan ke luar pesawat sepanjang penerbangan itu sehinggakan saya tidak dapat mengambil gambar langsung kerana dilindungi oleh tangannya. Mungkin saya kerugian hari itu kerana awan altocumulous yang sangat cantik, putih seperti kapas menghiasi dada langit. Kecantikan yang asli.


Kini saya mengharapkan sektor kedua KUL-KBR akan memberikan saya peluang untuk mengambil gambar yang cantik dari udara pada waktu matahari terbenam sejurus sebelum pesawat mendarat di KBR nanti. Sektor kedua berlepas dari KUL pada jam 5.50 petang dan mendarat di KBR sejam selepas itu. Waktu yang baik saya kira untuk mendapatkan gambar matahari terbenam yang cantik sambil berharap pesawat akan terlewat beberapa minit untuk mendapatkan kesan yang lebih cantik apabila awan akan kelihatan kemerah-merahan terkena sinaran terakhir matahari pada hari itu. Saya mendaftar masuk sejam awal dari waktu penerbangan dan sekali lagi meminta tempat duduk 14D (barisan tempat duduk terakhir dalam pesawat Fokker 50. Petang itu mereka menghantar 9M-MGD ke KBR). 14D membolehkan saya mengambil gambar dengan baik nanti sambil berkata dalam hati saya akan mengetuk kepala sesiapa lagi yang duduk di situ nanti.Hehe..


Kini sebelum masuk ke pesawat lagi, masalah telah timbul. Seorang penumpang telah terlebih dari jumlah kerusi yang ada dalam pesawat itu menjadikan jumlah penumpang sekarang adalah 51 orang. Saya tidak tahu bagaimana sistem tempahan tiket mereka bekerja tetapi ini menyusahkan dan membuang masa. Tidak ada sesiapa pun yang mahu ditinggalkan sehari sebelum AidilAdha walaupun dengan jaminan tambang akan dibayar balik berganda-ganda. Tambahan pula Terminal 3 di Lapangan Terbang Subang itu dikatakan berhantu selepas semua operasi penerbangan dipindahkan ke KLIA. Satu cerita yang popular adalah, pada waktu malam, troli-troli tempat mengisi beg penumpang itu dikatakan bergerak dengan sendirinya walaupun semasa mendaftar masuk petang itu, saya tidak nampak walaupun satu troli yang ada di sekitar ruang dalam terminal itu. Saya tidak tahu bagaimana untuk mentafsir cerita begitu.


Akhirnya, terdapat satu penyelesaian apabila kami diberitahu bahawa terdapat satu kerusi kosong di dalam kokpit pesawat di belakang juruterbang tetapi selepas 11 September, sesiapa pun selain juruterbang dibenarkan untuk berada di dalam kokpit semasa penerbangan. Kalau adalah satu perkara yang terbaik yang berlaku hari itu ialah kesudian juruterbang untuk membenarkan seorang penumpang yang terlebih itu untuk duduk di belakangnya di dalam kokpit pesawat. Nama beliau adalah Fauzi dan beliau terbang sebagai kapten pada hari itu bersama bersama seorang pegawai kedua. Beliau tersengih-sengih sahaja sepanjang masa. Terselamatlah kami semua tetapi ceritanya belum lagi berakhir.


Sekitar jam 5.30 petang satu pengumuman dibuat mengenai jadual perlepasan pesawat telah ditunda selama 30 minit kerana terdapat masalah pada enjin nombor satu pesawat. Jika kita berada di dalam pesawat, enjin dinomborkan dari kiri ke kanan bermula dari nombor satu dan seterusnya. Masalahnya adalah motor penghidup (starter) pada enjin tersebut tidak dapat berfungsi untuk menghidupkan enjin kerana kerosakan yang tertentu. Penyelesaiannya adalah untuk menukar starter tersebut dengan satu starter yang baru dan ini akan mengambil masa kerana selepas pemasangan, starter ini perlu menjalani test run selama 30 minit sebelum ianya disahkan selamat untuk terbang. Mungkin harapan saya akan menjadi kenyataan kerana sebaik sahaja kami akan memulakan penerbangan turun menuju KBR nanti, pasti keadaan matahari terbenam amat cantik. Sesi test run telah berjalan dengan baik, dan pada jam 6.10 petang kami dipanggil masuk ke pesawat untuk penerbangan segera.


Berjalanlah kami seperti itik pulang petang menuju ke pesawat dan apabila sampai ke dalam pesawat, saya berasa lega kerana tempat duduk 14D masih lagi kosong. Di sebelah saya terdapat seorang wanita bersama anak saudaranya di seberang lorong. Selepas semua penumpang telah berada dalam pesawat, satu keanehan lagi telah belaku. Selepas 20 minit, tiada apa-apa tindakan pun yang berlaku di dalam peswat itu. Pintunya tidak tutup. Begitu juga pintu kokpit. Akhirnya semangat ingin tahu kami terjawab apabila pengumuman dari kapten Fauzi sekali lagi mengatakan kali ini pintu pesawat pula tidak boleh dikunci kerana kerosakan mekanikal. Dan, yang paling menyedihkan adalah, mereka memberitahu bahawa mereka pun tidak dapat memastikan sebab kepada masalah ini. kami menunggu lagi. Sekarang sudah 6.30 petang. Wah...nampaknya harapan saya terlebih makbul kerana pastinya sesampainya kami nanti, hari pastinya malam di KBR dan tiada lagi kecantikan matahari itu lagi.


Pukul 7.00 malam, satu lagi pengumuman dibuat. Kali ini memberitahu semua penumpang bahawa masalah pada sistem pintu telah dikenal pasti iaitu kegagalan locking sytem untuk memegang pintu dengan selamat apabila ditutup. Ini sangat penting kerana apabila terbang tinggi di udara yang mempunyai tekanan yang lebih rendah, kabin secara relatifnya akan mempunyai tekanan udara yang lebih tinggi untuk memastikan keselesaan penumpang sepanjang penerbangan. Apabila locking system ini gagal untuk memastikan pintu berada dalam keadaan selamat, dikhuatiri pintu akan tertolak keluar disebabkan perbezaan tekanan yang ini. Sekiranya ini berlaku, tekanan kabin akan berkurangan dan ini akan menyukarkan proses pernafasan. Bukan itu sahaja, katakanlah pada ketika pintu itu tertolak keluar, terdapat mana-mana penumpang yang tidak memakai tali pinggan keledar mereka, pada masa yang sama mereka juga akan bersama-sama tertolak keluar. Jika ini berlaku, pastinya penumpang ini akan menjadi peluncur udara yang sangat profesional kerana tidak memerlukan payung terjun pun untuk meluncur dari kapal terbang. Mungkin satu-satunya perkara yang boleh kami semua yang masih berada di dalam pesawat lakukan adalah mengucapkan selamat tinggal kepada mereka ini...Hehe


Serentak dengan itu, satu lagi pengumuman dibuat meminta semua penumpang kembali ke dalam terminal terlebih dahulu sementara pembetulan ke atas sistem dibuat kerana jangkaannya proses ini akan mengambil masa selama 30 minit lagi. Kali ini barulah saya percaya bukan setakat Terminal 3 ini sahaja yang dikatakan berhantu, malah kapal terbang yang ada di situ juga turut berhantu. Walaubagaimanapun saya sentiasa percaya yang sekiranya kami semua tidak selamat untuk terbang dengan keadaan itu, maka lebih baiklah kami terus berada di bumi kerana untuk berlepas itu adalah satu pilihan, tetapi untuk mendarat itu adalah wajib. Daripada kami menjadi penerjun profesional, lebih baik kami tidak terjun langsung.Kini, terbukti harapan saya benar-benar berhasil. Malah terlebih berhasil. Saya melihat matahari terbenam di Terminal 3 sahaja hari itu dari bumi..Apa boleh buat, hari yang malang untuk saya.


7.20 malam, kami semua dipanggil sekali lagi ke dalam pesawat dan saya berharap semua hantu-hantu telah dihalau dari pesawat. Mujurlah, pada kali ini semua proses berjalan dengan lancar dan kali ini tiada lagi masalah teknikal yang berlaku. Tepat 7.35 malam, roda belakang pesawat kami mula meninggalkan landasan nombor 15 Lapangan Terbang Subang. Sepanjang penerbangan itu, saya tidak menanggalkan tali pinggang keledar saya. Bimbang juga kalau-kalu terjadi penerjun profesional. Muzik iringan sepanjang penerbangan adalah tangisan bayi yang tidak pernah berhenti menangis sepanjang penerbangan. Saya tidak mempedulikan apakah sebab yang menyebabkan bayi itu menangis, tetapi saya tertanya-tanya dari manakah bayi itu mendapat tenaga sebanyak itu untuk menangis maraton tanpa henti. Mungkin juga dari susu botolnya kerana sebelum penerbangan saya melihat isi botol itu penuh dengan susu. Sejurus selepas penerbangan, botol itu kosong!!!...Tetapi bayi itu masih juga menangis.


8.40 malam, 9M-MGD mula menjunam agak tajam menuju KBR dan kami mendarat dengan selamat. Kapten Fauzi tersenyum di pintu kokpit sambil berkata "Salam AidilAdha". Perjalanan yang panjang.


Ada lagi satu cerita, dalam perjalanan pulang ke Kuantan, bas ekspres kegemaran saya pula yang meragam. Punyalah laju dia memecut seperti pemandu itu akan meninggal dunia dan tidak dapat memandu bas lagi esoknya. Tetapi setelah sekian lama memecut, akhirnya ia semakin perlahan dan akhirnya berhenti terus. Rupa-rupanya saluran minyak hidrauliknya yang disalurkan ke brek telah kebocoran dan menyebabkan brek tidak berfungsi apabila ditekan. Terpaksa berhenti dan turun menjadi penunggu jalan mengutip debu-debu kerana bas telah diserang nyamuk dan kepanasan. Akhirnya saya tahu bahawa tanpa sistem brek yang baik, bas bukan sahaja tidak boleh berhenti malah bergerak pun tidah boleh. Menunggulah kami semua di situ. 3 jam kemudian datanglah bas gantian selepas entah berapa banyak debu yang masuk ke paru-paru kami dan setelah tidah terkira lagi kami terangguk-angguk kerana mengantuk. Bas gantian ini pula adalah bas yang mempunyai susunan kerusi 2+1 berbanding bas asal kami yang rosak yang mempunyai susunan kerusi 2+2. Akibatnya, seorang lagi penumpang terpaksa menjadi penunggu tangga bas dia atas kerusi tegak 90 darjah. Pastinya sesampainya kami di Kuantan nanti, dialah yang penumpang yang paling tegap antara kami. Sampai di Kuantan jam 10 pagi