Monday, September 29, 2008

Holiday Inn dan Mengiringi Kepulangan MRB

Jam 0605 masa tempatan di Adelaide, MRO menyentuh bumi Adelaide ketika panas matahari mula meninggi. Satu perjalanan biasa bagi satu MRO yang telah melalui berbagai rintangan yang lebih hebat sebelum ini. Tersenyum pada supir hebat yang mejadikan MRO sekali lagi sebagai penghubung tali-tali ikatan kemanusiaan antara dua benua yang jauh.

Oh ya, semalam berbuka puasa di No.2 Monash Street. Mangsanya adalah kebab dari Falafel Kebab House. Banyak kisah dikongsikan bersama FO MRO malam tadi. Satu yang menarik mungkin tentang seseorang yang berada jauh di Bonn. Pastinya tidak terlepas dari kisah-kisah lucu yang melingkari hidup. Ketawa itu adalah seperti panadol sebagai penenang kepada demam ataupun sakit kepala. Bila kesannya hilang, segala sakit itu akan datang semula, malah mungkin dengan lebih teruk lagi. Bila ketawa juga hilang, keperitan yang kita hadapi pastinya muncul kembali. Selalulah ketawa agar hari kita sentiasa ceria.

Pagi in, berkejaran dari Holiday Inn Adelaide untuk mengiringi kepulangan MRB memang mencuakkan. Menunggu tram yang sangat membuang masa di hari Ahad yang sejuk-sejuk ayam. Dalam kekalutan mengejar masa, tertinggal pula seluar di hotel. Nasib baiklah ianya diselamatkan oleh FO MRB pada hari yang akan membawanya kembali nanti ke Adelaide. Selamat bejalan-jalan wahai seluarku.

Dalam tempoh setengah jam sempat berkejaran dari King William Street pulang ke rumah dan seterusnya ke Adelaide Airport untuk bertemu supir MRB. Satu pencapaian yang agak baik dalam mengayuh basikal di kala puasa yang semakin hampir ke penamat ini di mana tenaga semakin menyusut.

MRB juga mempunyai tugasan sama seperti MRO. Menyambung sisa-sisa tali kemanusiaan yang semakin menipis dah hampir putus. Meninggalkan Adelaide sepuluh minit lebih awal, membawa semangat Aidilfitri pastinya untuk sesetengah jiwa yang berada di dalamnya. Semoga berjumpa lagi wahai puteri MRB, semoga hari ini menjadi hari yang indah untukmu.

khabarnya FO MRB kehilangan kamera hari ini. Hilang maknanya tidak mungkin dijumpai lagi. Tidak mungkin dijumpai bermakna ianya mengecewakan. Di manakah kita belajar sebenarnya untuk membolehkan kita mengambil hak orang lain tanpa kita rasa bersalah dan membuat orang lain berasa hidup ini tidak tenteram? Satu kesilapan besar dalam sistem pendidikan di mana kita gagal melahirkan manusia-manusia yang berjiwa insan

Hari Raya tinggal lagi dua hari. Suasana di Adelaide masih seperti biasa. Apabila kita menjadi kecil dan minor, tiada siapa yang akan mendengar suara kita. Begitu juga bilamana kita menjadi major dan besar, kita tidak akan mendengar pula suara-suara kecil yang meluahkan isi jiwa mereka. Adilakah kita ini sebenarnya?

Kita anak semua bangsa.

Friday, September 26, 2008

Menanti Kemunculan MRO

Ketika ini pastinya MRO sedang gagah membelah kepulan awan mencari kedudukan yang selesa untuk dirinya sendiri dan juga untuk nafas-nafas manusia yang ikut bersama. Sebuah kembara rutin yang tidak terhitung jumlahnya, MRO akan muncul dengan bergaya ketika hari baru bermula di Adelaide.

Ketika ini juga pastinya MRO sedang bergelut untuk mengatasi "kepala angin"degil yang cuba menghalang perjalananya. Juga pastinya sesekali MRO akan bersenang lenang mengikut sahaja "ekor angin" yang menghanyutkannya secara terkawal menuju ke titik penamat.

MRO bukan sahaja membawa benda fizikal yang boleh kita pegang dan rasa, malah MRO juga membawa bersama nilai budaya untuk badan yang mencari, elemen kasih sayang untuk jasad yang sekian lama terpisah dan simbol kebebasan serta kemajuan untuk mereka yang menghargai.

Di tengah-tengah langit malam, berpuluh ribu kaki dari aras laut, ke depan yang entah berapa jauh lagi, ke belakang yang telah lama kita tinggalkan, ke kiri dan ke kanan yang tidak bertepi, lalu siapakah kita ini sebenarnya?

Semoga ketemu MRO nanti, Puteri yang sentiasa dirindui bersama supir yang sentiasa tabah dan yakin dengan apa yang dilakukannya

Thursday, September 25, 2008

Impian Seorang Anak





P/s: Unless you spread your wings, you'll never know how high you can fly